%L UNY27707 %A - Awaludin %A - Nordin %X Kertas kerja ini akan mengupas mengenai pelaksanaan polisi pengasingan dan pengawalan perkhidmatan kesihatan British di Semenanjung Tanah Melayu sepanjang tempoh sebelum Perang Dunia Kedua terutamanya yang melibatkan pesakit-pesakit mental melalui penubuhan beberapa buah ‘asylum’. Pelaksanaan polisi ini berasaskan kepada penguatkuasaan undang-undang yang memperuntukkan bidang kuasa kepada pentadbiran British untuk mengarahkan suatu bentuk pengasingan dan pengawalan dikenakan terhadap pesakit-pesakit mental dan seterusnya menjelaskan kedudukan dan kepentingan ‘asylum’ dalam pentadbiran kesihatan British. Justeru, kajian mengupas dengan lebih terperinci mengenai aspek perundangan yang membolehkan polisi ini dilaksanakan. Selain itu, kajian juga menjelaskan mengenai perkembangan beberapa buah ‘asylum’ serta bilangan pesakit mental yang tertakluk di bawah polisi pengasingan dan pengawalan ini. Kajian ini berbentuk kualitatif melalui kaedah rujukan terhadap dokumen-dokumen arkib selain penyelidikan lapangan di Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak dan Hospital Permai Johor Bahru. Kajian mendapati bahawa terdapat beberapa undang-undang yang telah dikuatkuasakan bagi memastikan polisi tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan. Selain itu, pelaksanaan polisi ini mempunyai kaitan dengan kepentingan sosioekonomi British di Semenanjung Tanah Melayu selain membuktikan kepentingan penubuhan ‘asylum’ sebagai lokasi pengasingan dan pengawalan bagi pesakit-pesakit mental. Kajian mendapati juga terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan masyarakat mengenai masalah penyakit mental selain mengenalpasti reaksi masyarakat di Semenanjung Tanah Melayu mengenai polisi yang dilaksanakan terhadap pesakit-pesakit mental. Keseluruhannya, kajian ini penting bagi memahami kepentingan aspek perundangan dalam pelaksanaan polisi pengasingan dan pengawalan sebagai salah satu bentuk pembaharuan perkhidmatan kesihatan British di Semenanjung Tanah Melayu terutamanya sebelum Perang Dunia Kedua. Kata kunci : Polisi awam ; undang-undang; penyakit mental ; asylum ; sejarah Tema : ‘Keharmonian Dalam Kepelbagaian ; Membina Komuniti ASEAN 2015’ Sub-Tema : Public Policy and Governance %D 2015 %T PELAKSANAAN POLISI PENGASINGAN DAN PENGAWALAN PESAKIT MENTAL DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU SEBELUM PERANG DUNIA KEDUA